KEPALA

"Ana ! Ana ! Abang nampak kepala! Kat dalam bilik air. Badan dia takda !" Alif datang kepada Ana dengan rona yang cemas memecahkan kesunyian di dalam rumah di pagi hari.

"Kepala? Kepala hantu ke abang?" Ana bertanya kepada abangnya. Wajahnya cuak ketakutan. Sudahlah dia tidak mandi lagi. Dia mula berfikir bahawa hantu sekarang sudah maju dan mampu menjelma di siang hari.

"Jom lah tengok. Dia muntahkan air. Ana nak tengok?" Alif bercadang. Ana masih dalam ketakutan namun sedikit teruja untuk melihat kepala yang Alif ceritakan.

"Dia tak kejar abang?"

Alif geleng.

"Dia tak marah abang?"

Geleng lagi.

"Tapi abang, Ana takut." Ana sangsi. Di wajah Alif masih ada kecemasan dan sedikit berharap untuk Ana melihat kepala yang disebutnya.

"Jom Ana, abang temankan." Akhirnya Ana bersetuju. Tangan Alif dihulur, Ana mencapai. Tangan kecil Ana yang hangat itu menghangatkan tangannya yang sejuk dan basah. Adiknya dipimpin menuju ke kamar mandi. Ana berjalan rapat di belakang abangnya yang tinggi itu. Setiba di hadapan kamar mandi, kedengaran air terhambur ke dalam baldi.

"Abang, Ana takut."

"Takpe Ana kepala tu tak makan orang." Alif meyakinkan Ana. Lalu pintu kamar mandi dibuka. Deruan air yang ditadah di dalam baldi semakin jelas kedengaran. Ana menjulurkan kepalanya, mengintai.

Tiada apa-apa.

"Mana kepala hantunya?" Ana menoleh kepada Alif yang mukanya merah menahan ketawa di perut. Mulutnya ditekup.

"Ppft.. Intai sekali lagi."

Ana mulai sangsi. Ana masuk ke dalam kamar mandi dan menunjuk kepada abangnya bahawa tiada kepala yang mistik di situ.

"Haa. Mana ada!" Ana acah-acah berani. Ketawa yang ditahan Alif sedari tadi akhirnya pecah. Hilaian kuat bergema di seluruh kamar mandi.

"Hahahaha. Tu haa, Ana. Tuuuu."

"Mana?!"Alif menuding ke arah kepala paip yang airnya terhambur keluar sedari tadi.

"Tu la kepalanya. Hahahahahahahha" ketawanya semakin besar. Muka Ana merah. Dia marah kepada abangnya.

"Abang penipu!" Mulutnya dimuncungkan dan kaki dihentak ke lantai yang berair.

"Hahahaha. Dah dah. Jom, abang mandikan Ana."

Ana datang kepada Alif, baju ditanggalkan dan rona kemarahan kembali girang bersama bunyi deruan air disimbah ke tubuh Ana yang kecil. Kepala paip kekal menghamburkan air buat dua beranak itu meluangkan masa bersama.

ROMANTIS

"Sayang nak bawa I pergi mana ni?" Tanya Alya dalam separa teruja. Matanya tertutup diikat dengan kain. Tangannya dipegang lembut oleh Fuad. Di belakangnya, Alya dapat merasakan teman lelakinya sedang tersenyum apabila soalan itu terpacul dari mulutnya."Tunggu jela sayang. You duduk sini kejap ya." Fuad membalas. Kerusi ditarik, Fuad menjemput Alya duduk. Saat punggungnya dilabuhkan ke atas kerusi, keterujaan di hatinya semakin membuak. Senyum Alya semakin ke telinga. Alya cuba menghayati suasana tempat yang dibawa oleh Fuad. Dengan wangian soft lavender kesukaannya, serta musik klasik yang asyik mampu membuat dirinya terlena. Dalam kotak imaginasinya terpancar sebuah kamar yang elegan dengan meja makan malam di hadapannya, bersama seorang romantis bernama Fuad sedang menghulurkan sejambak bunga ros ungu. Sesekali terselit babak nakalnya bersama Fuad, bercumbu dan bermadu asmara.Segalanya terpadam tatkala suara Fuad kedengaran, mengalunkan dengan perlahan lagu yang dipasang."Sayang, surprise!" Ujar Fuad dengan senyum yang menyeringai. Baru saja Alya hendak membuka kain yang membaluti matanya, rambutnya dicengkam tarik dan sebilah pisau yang tidak tajam mengelar leher Alya yang jinjang. Dan tamatlah nyawanya di tangan seorang romantis yang melangsaikan dendam hitam. Dengan rasa puas hati Fuad berkata, "Happy Valentines day, naharam."

Seronok tapi Benci

"Awak tak sukakan pantai?" Soalan terbodoh kedengaran daripada seorang gadis bergaun hijau paras betis yang menyapa aku dari belakang. Rambutnya dilepas separas punggung yang pipih. Aku sedari tadinya sedang duduk mengenangkan hidup yang teramat sukar,  kemudiannya berpaling. Cuba memandang wajahnya. Gadis itu duduk di sebelahku tanpa meminta izin. Aku meneliti wajahnya dalam kegelapan bersulamkan cahaya malar daripada lampu lorong pejalan kaki di bawah pohon.

Ayu. Sungguh ayu dan tenang bagai laut biru yang ada di hadapanku ini. Sesungguhnya laut berwarna biru kehijauan, bukan? Namun ini waktu malam. Sudah tentulah laut kelihatan hitam zulmat. Tetapi gadis itu tetap bagaikan warna biru laut. Tenang dan ayu.

"Saya Julia." Dia membuka perbualan dengan memperkenalkan dirinya. Disambung pula dengan aku membalas perkenalannya. Tangan dijabat, laut yang maha luas ditatap semula bersamanya.

"Sekali lagi saya tanya. Awak tak sukakan pantai?"

"Suka."

"Kenapa?"

"Sebab laut ni menenangkan saya. Macam awak." Spontan saja ayat itu keluar dari mulut. Maaf, ya. Aku bukan mengayat dia tapi seakan-akan kami sudah lama mengenali satu sama lain. Pelik benar.

"Hmm.. kita tak samalah nampaknya."

Aku memandang ke arah Julia sebagai tanda meneruskan hujahnya.

"Saya ingat, awak duduk dekat sini sebab awak bencikan laut."

"Pulak dah?" Kau dah kenapa perempuan?

"Laut ni kalau main dekat gigi air memanglah seronok. Awak pernah terjun dari tebing?"

"Tak. Julia pernah ke?"

"Hm hm." defak? Dia pernah terjun tebing dan tak mati?

"Aku rasa kau ni penipulah. Hahaha"

"Hey awak saya serious lah. Saya pernah terjun dari tebing hujung sana. Sebab tu saya benci laut. Tapi seronok jugak. Nak cuba?"

Aku memandang Julia dengan penuh persoalan seperti 'aku mimpi atau perempuan ni mengigau?' dan 'berapa nombor telefon hospital sakit jiwa ya?' serta 'dia nak bagi hint buat projek ke cemana ni?'. Cuba aku hadam selama lima enam minit lebih kurang.

"Hello awak. Nak cuba ke tidak?" Julia mengajukan kembali soalan itu. Dan tidak semena-menanya aku mengamgguk tanpa tapisan kesangsian.

Julia bangun, menepuk sedikit punggungnya yang pipih menggugurkan pasir pantai yang halus dan menghulurkan tangan kepadaku. Tangannya dicapai untuk bergagah bangun. Nampak mulus kulitnya tetapi seakan-akan tidak berjirim. Mengapa ya? Erat tangannya menggenggam tanganku, membawa aku beransur dari persisiran pantai di malam hari. Pada malam gelap itu dia mengheret aku ke tebing laut yang tingginya tambah tolak 30 meter andai diukur dari mata kasar. Mataku memicing, menumpu ke hujung tebing. Dan kembali menatap wajah Julia.

"Weh perempuan awak serious ke ni?" Julia mengangguk.

"Cubalah. Seronok sangat." Ujar gadis itu sambil tersengih.

Aku mengundur setapak demi setapak ke belakang. Tidaklah aku yakin untuk merasai 'keseronokan' itu. Masih terlalu awal.

"Julia, saya tak nak lah. Tak berani."

"Alaaaaa jom laaaa." Ah, dia memujuk pula. Sudahlah ayu. Aku ni lelaki. Lemahlah begini !

"Kalau awak kata seronok kenapa awak benci laut?!"

"Sebab itulah awak kena cuba. Jom? Kita terjun sama-sama."

"Siang besoklah. Malam-malam ni bahaya."

"Malamlah sesuai sebab kalau siang nanti orang tahan kita. Cepatlah. Please." Dan akhirnya pujukannya tersuap jua.

Tangan tiada jirim itu menggamit tanganku, bagai ditolak oleh bayu aku hanya mengikut dia, mengambil lajak untuk terjun. Tebing 30 meter. Seronok dia kata? Aku menggeleng kecil. Julia perasan akan gelenganku lalu bertanya.

"Kenapa?"

"Hm?"

"Jangan mengelat eh?"

"Mana ada! Saya takut awak yang tipu saya."

"Jangan risau, cik abang. Kita terjun sama-sama. Memang seronok. Tapi awak akan benci laut."

Seronok tapi bencikan laut. Kenyataan itu menerjah masuk ke minda dengan seribu satu pertanyaan dan andaian. Pada saat ini, aku harus tamatkan segala yang menujah kenyataan itu. Lajak diambil, beberapa depa tangan dari tebing laut itu mungkin, kekuda dipasang.

"Sedia?" Tanya dibalas angguk. Angguk dibalas senyuman yang menyeringai.

"Satu, dua , tiga !" Dua pasang kaki, bersneakers Vans dan berkaki ayam laju berlari menuju ke tebing laut yang tinggi. Tangan dilepaskan, kaki menunjal tanah mengapungkan badan. Seronok. Memang seronok. Okay, sekarang aku tahu kenapa. Sebentar lagi akan aku rasa benci pada laut.

                               ***

Suasananya seperti malam yang sebelumnya, gelap dan hitam zulmat. Aku berjalan di persisiran pantai. Terus berjalan, menembusi beberapa pasangan yang sedang mengambil kesempatan dalam kegelapan malam itu untuk bermadu kasih. Peluk, cium. Geli haku. Setiap kali aku yang sudah tidak berjasad pejal ini menembusi pasangan-pasangan itu, pasti mereka akan berasa kesejukan mencucuk hingga ke tulang. Peduli saja. Aku bukan lagi manusia.

Aku nampak seorang budak lelaki sedang duduk di atas pasir. Sama seperti aku dahulu bersama Julia. Ingat lagi dengan Julia bukan? Yang buktikan aku kebenciannya kepada laut. Dan aku pun turut sama sekarang. Dan aku juga kini sama seperti dia. Hantu. Badan aku sudah pun pecah dan barai dihentam ke batu laut. Sungguh tragis. Pengakhiran dia dulu pun begitu. Sebab itulah kami sudah tidak berjirim. Okay, kembali fokus kepada budak lelaki tadi. Aku berjalan ke arahnya. Tembus orang sana sini sedikit. Dan sampai.

"Best sangat ke laut ni?" Aku menyapa.

Dia memandang aku, dapat aku lihat ke dalam matanya. Mata itu dalam kekalutan. Kekecewaan atas satu pengkhianatan. Menghambat diri ke tepi pantai untuk mencari ketenangan.  Kesiannya kamu, wahai budak. Tanpa dijemput, aku duduk di sebelahnya dan memandang laut yang aku benci. Kerana laut bukan lagi ketenangan aku. Budak lelaki ini pun tidak lama lagi akan turut sama berasa begini.

"Saya Fizul" tangan kanan dihulur, kami, dan sejarah baru berulang lagi. Hai, mangsa. Ayuh bersama aku, berdendam kepada laut.