"Ana ! Ana ! Abang nampak kepala! Kat dalam bilik air. Badan dia takda !" Alif datang kepada Ana dengan rona yang cemas memecahkan kesunyian di dalam rumah di pagi hari.
"Kepala? Kepala hantu ke abang?" Ana bertanya kepada abangnya. Wajahnya cuak ketakutan. Sudahlah dia tidak mandi lagi. Dia mula berfikir bahawa hantu sekarang sudah maju dan mampu menjelma di siang hari.
"Jom lah tengok. Dia muntahkan air. Ana nak tengok?" Alif bercadang. Ana masih dalam ketakutan namun sedikit teruja untuk melihat kepala yang Alif ceritakan.
"Dia tak kejar abang?"
Alif geleng.
"Dia tak marah abang?"
Geleng lagi.
"Tapi abang, Ana takut." Ana sangsi. Di wajah Alif masih ada kecemasan dan sedikit berharap untuk Ana melihat kepala yang disebutnya.
"Jom Ana, abang temankan." Akhirnya Ana bersetuju. Tangan Alif dihulur, Ana mencapai. Tangan kecil Ana yang hangat itu menghangatkan tangannya yang sejuk dan basah. Adiknya dipimpin menuju ke kamar mandi. Ana berjalan rapat di belakang abangnya yang tinggi itu. Setiba di hadapan kamar mandi, kedengaran air terhambur ke dalam baldi.
"Abang, Ana takut."
"Takpe Ana kepala tu tak makan orang." Alif meyakinkan Ana. Lalu pintu kamar mandi dibuka. Deruan air yang ditadah di dalam baldi semakin jelas kedengaran. Ana menjulurkan kepalanya, mengintai.
Tiada apa-apa.
"Mana kepala hantunya?" Ana menoleh kepada Alif yang mukanya merah menahan ketawa di perut. Mulutnya ditekup.
"Ppft.. Intai sekali lagi."
Ana mulai sangsi. Ana masuk ke dalam kamar mandi dan menunjuk kepada abangnya bahawa tiada kepala yang mistik di situ.
"Haa. Mana ada!" Ana acah-acah berani. Ketawa yang ditahan Alif sedari tadi akhirnya pecah. Hilaian kuat bergema di seluruh kamar mandi.
"Hahahaha. Tu haa, Ana. Tuuuu."
"Mana?!"Alif menuding ke arah kepala paip yang airnya terhambur keluar sedari tadi.
"Tu la kepalanya. Hahahahahahahha" ketawanya semakin besar. Muka Ana merah. Dia marah kepada abangnya.
"Abang penipu!" Mulutnya dimuncungkan dan kaki dihentak ke lantai yang berair.
"Hahahaha. Dah dah. Jom, abang mandikan Ana."
Ana datang kepada Alif, baju ditanggalkan dan rona kemarahan kembali girang bersama bunyi deruan air disimbah ke tubuh Ana yang kecil. Kepala paip kekal menghamburkan air buat dua beranak itu meluangkan masa bersama.
No comments:
Post a Comment