MIMPI

Pejam dan celik semula. Pintu merah darah ikan bertombol emas itu masih tersergam di hadapanku. Pada pintu tersebut tertera digit 801 berwarna kuprum. Dan aku berdiri hanya lebih kurang tiga inci daripada pintu itu. Aku tilik kembali kertas berisikan alamat pada tangan kananku. Barangkali alamat ini yang membawa aku kepada pintu yang penuh tanda tanya ini. Bukannya aku takut menghadapi apa yang sedang menunggu di sebaliknya. Cuma aku ragu-ragu. Lagi sekali diulang, aku cuma ragu-ragu dan aku tidak takut.

Kalau aku takut, aku takkan dianggap hati kering dahagakan darah.

Tombol pintu bersalut emas itu aku capai dan pulas. 'Klak!' Terbuka. Bagaikan pagar automatik pintu itu terkuak luas seluas yang mampu sehingga satu ruang bagaikan diselubungi cahaya hitam menujah ke muka. Pada saat itu, daripada rasa ragu-ragu telah membawaku kepada kuriositi. Sialan, diri ini.Kaki kanan melangkah ke depan,membuat langkah pertama dalam perasaan yang serba fak ini. Dan tiba-tiba saja bagaikan ada suatu daya menujah aku dari belakang dan menarik diri ini untuk masuk ke dalam pintu berwarna merah darah ikan itu.

Lalu segalanya gelap gelita.

**
Dengan perlahan aku perit mencelik mata. Sakit cahaya putih dari mana entah menerobos masuk ke retina kedua mata. Dengan tangan kanan aku memisat-misat pancaindera ini supaya kembali tenang dan melihat dengan jelas. Sesudah deria melihatku dapat berfungsi dengan baik, didapati aku sedang bertubuh bogel tanpa seurat benang,terbaring di tengah-tengah sebuah kamar. Semuanya putih. Di mana pintu merah darah ikan tadi? Adakah aku di dalamnya? Atau ini adalah kompartmen di dalam pintu itu?

Sungguh aneh untuk aku berfikir sebegitu. Ruang ini kelihatan luas seluas alam yang pernah aku lihat. Sama ada luas yang benar ataupun ilusi kerana warnanya yang putih sekadar putih.

Putih semuanya.
Putih tidak bercela.

Ingin saja aku bangun,terkocoh mencari pintu. Tapi pelik sungguh jasad yang aku kandung ini, derianya terangsang elok namun berat untuk bangun, apatah lagi bergerak. Kaku bermula dari pinggang ke hujung kaki.

'Sretttt...' suatu bunyi seretan kedengaran dari jauh.

'Srettt...' kian lama kian kedengaran.

'Srettt....' semakin jelas.

'Srettt....' semakin jelas ! Ah, di mana datangnya bunyi membingitkan itu?!
Aku cuba bangkit dengan separuh badan yang bagainya sudah disihir menjadi kaku, mencari sumber bunyi seretan yang bingit sebingit teriakan azazil. Bukannya aku pernah pun dengar teriakan azazil, aku cuma andaikan saja. Tak perlu kau pertikai.

Sedang kedua mata aku melilau mencari kalau-kalau ada makhluk bedebah yang melakukan bunyi itu, jauh dari suatu sudut yang tidak dapat aku jangka berapa darjahnya berjalanlah seorang pemuda. Segak busananya, sut putih dengan terselit elok sehelai sapu tangan berwarna merah saga. Di tangan kiri pemuda itu erat memegang hulu sebilah kapak dan mata kapak itulah yang menghasilkan bunyi seretan yang mega dashyat bingitnya. Semakin pemuda itu dekat, semakin dia tersenyum ke arahku,manis semanisnya dan semakin kuatlah bunyi seretan kapak itu.

Aku hanya memandangnya. Bukan dengan rasa ragu-ragu kali ini. Dan bukan dengan kuriositi. Kerana aku tahu pada mata kapak itu nyawaku bakal dicium cahaya izrail. Akhirnya dari jauh datangnya si pemuda itu berdiri tegak si sebelahku. Tanpa menunduk mahupun mendongak matanya kekal merenung mataku. Bagai si angkuh bernawaitu sekejam syaitan. 'Agh janganlah!'

Tangan kirinya mengacung kapak yang sudah tersisa percikan darah mangsanya sebelum ini ke atas, mataku dipejam rapat.

'Chop!'

"ARGHHHH!"

'Chop!'

'Srrappp!'

'ARGHHHHHH!!'
jeritanku semakin kuat. Sakitnya sungguh dashyat. Mataku perlahan-lahan dibuka,kelihatan dari kedua-dua lututku sudah terputus dipotong. Sakitnya aku kerang,tidak tertahan. Sewaktu aku cuba menatap wajah pemuda itu, wajahnya bukan lagi dia. Itu ialah aku !

"Si...siapa kau?!" Aku bertanya dalam kegeringan.

"Aku? Heh.."

Jawapan dinanti. Jawapan daripada dia yang bagaikan ilusi diri ini sendiri.

Sepotong ayat terpacul di bibirnya. Aku yakin dia bersuara namun deria ini tiba-tuba saja pekak tidak menerima sebarang getaran suaranya. Lalu sepucuk revolver dikeluarkan daripada poket sutnya, ditala tepat ke mukaku. Mata dipejam rapat. Serapat yang termampu.

BAMMM!

Dan aku terbangun dari lena yang ngeri.

No comments:

Post a Comment