Arnab

"Eh Kiah, kasilah arnab kau sekor dua untuk aku. Sekor pun takpa dah." Tipah merayu.

"Tak bolehlah, Pah. Penat-penat aku jaga  diaorang dari mak diaorang kecik lagi. Sayang lahaiii Tipah." Kiah dalam keluhan berat cuba menerangkan kepada Tipah.

Sudah kali ke berapa entah Tipah meminta daripada Kiah. Bukan buat dibela seperti Kiah, tapi untuk dijamu bersama-sama keluarganya. Namun kerana terlalu sayangkan haiwan peliharaannya itu, Kiah enggan memberi. Dia tidak sanggup melihat arnab-arnabnya dijadikan juadah apatah lagi dijamu kepadanya. Bukan Kiah seorang sahaja bersifat begitu, suami dan anak-anaknya turut dituruni sifat terlalu kasih kepada haiwan peliharaan.

Tipah sudah lama terliur untuk mencuba daging arnab. Pertama kali Tipah mencuba sate daing arnab yang dibeli di pasar malam. Sedap baginya bukan kepalang. Mengalahkan daging ayam katanya. Itulah yang membuatkan dirinya begitu geram dengan arnab-arnab Kiah. Beberapa bulan yang sudah, Tipah pernah menempelak Kiah, mengakui dirinya berbadan dua dan mengidam untuk menjamah daging salah seekor arnab Kiah. Namun mujurlah sel-sel otak Kiah berhubung pada waktu itu lalu bertanya kepada si suami kepada Tipah, Lan Bumbung tentang dakwaan isterinya. Lan yang bekerja sebagai tukang baiki bumbung rumah itu turut terkejut dan terus menyerang isterinya.

"Woi, Tipah! Dengan jantan mana kau main?!" Lan menyergah Tipah yang khusyuk menjemur pakaian dengan wajah yang bengis. Kiah berselindung di sebalik dinding pemisah rumahnya dengan rumah Tipah, mencuri dengar permulaan kepada perbalahan suami isteri itu.

"Main apa ni abang?!" Tipah mempertahankan diri.

"Dah kau duk heboh kat si Kiah Arnab yang kau mengandung tu amenda?! Oh mentang-mentanglah aku kerja siang balik isyak ni kerja kau buat ya?!"

"Eh mana adalah abang. Tipah tipu si Kiah tu je. Tipah cakap Tipah ngidam nak kat arnan dia. Tipah nak sangat makan arnab dia,bang." Jelas Tipah separuh berbisik.

"Astaghfirullah. Macam-macamlah kau ni sorang Tipah oi." Lan mengeluh kekecewaan dek isterinya yang terlalu inginkan daging arnab sehingga sanggup menipu dan menimbulkan kekecohan. Jiran-jiran sekeliling mereka sampaikan keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.  Ada yang turut mengeluarkan telefon pintar untuk menviralkan 'perselisihan faham' mereka. Kiah kekal di sebalik dinding rumahnya, dengan hati dan telinga yang panas selepas mendengar pengakuan Tipah. Lan masuk ke rumah dengan kemerahan di wajahnya, malu kerana menimbulkan kekecohan yang janggal.

Tipah sambung menjemur pakaian di halaman sehinggalah Kiah muncul sekali lagi menggegarkan dunia. Mulalah mulut Kiah lancar bagai khatam 10 kali kitab carutannya yang padu tanpa cela. Tipah hanya terkejut dan kaku tidak berkutik dengan wajah yang kosong. Kiah beransur sesudah memaki hamun 1001 carutan kepada Tipah.

Wanita itu mulanya kaku tidak tahu apa harus dimulakan dahulu, sesalan, makian di dalam hati, atau sambung menjemur pakaian. Dia memandang sayu pintu rumah Kiah, lalu pandangan beralih kepada sangkar arnab Kiah yang beranak berbelasan ekor.Dua bulan kemudian selepas kejadian itu, Tipah bertandang ke rumah Kiah dan meminta maaf. Kiah memaafkannya dan turut meluahkan rasa kesal kerana membuka kuasa carutan 1001 kepada jiran terapatnya itu dan segalanya kembali normal.

Dan pada hari ini perkara yang sama masih berlaku.

"Kiah, tolonglah aku naaaak sangat rasa daging arnab kau. Bagilah sekor, aku masak nanti aku hulurlah lauk untuk kau."
Tipah merayu lagi.

"Tipah dah dah la. Aku sayangkan arnab-arnab ni mana boleh bagi kau untuk buat lauk." Kiah membalas dengan nada yang bosan. ' Menyesal pulak aku datang melepak kat rumah dia ni ' getus Kiah.

"Alaaa Kiah. Okaylah macam ni. Aku bayar rm35 untuk sekor arnab. Yang kurus-kurus pun takpe. Haa amacam?"

"Tipah!" Kiah membentak seraya bangun meninggalkan perkarangan rumah Tipah. Tuan rumah itu hanya terlopong dengan tindakan Kiah. Rasa dendam mula timbul di lubuk hati wanita itu. Tipah memaparkan mimik muka yang penuh hasad dengki bak drama sinetron dengan hatinya berbisik 'Degil sangad kannn. Kau tunggu je, Kiah.'

Tiga hari kemudian, Kiah dan keluarganya berangkat ke Pulau Tioman selama empat hari untuk bercuti. Dia cuba mengusahakan jiran-jiran sekelilingnya selain Tipah untuk menengokkan arnab-arnabnya namun semuanya sibuk dan ada yang turut bercuti bersama keluarga masing-masing. Cuti penggal, biasalah. Akhirnya, terpaksalah dia meminta Tipah untuk menjaga haiwan peliharaannya.

"Aku percaya kat kau ni Tipah." Kiah menyerahkan kunci mangga kepaka Tipah.

"Okay. Nak bagi makan berapa kali sehari?"

" Pagi dengan petang je. Diaorang tak makan sangat. Tapi air tu kena tengoklah kalau kering kenalah topap. Macam tak pernah tengok aku uruskan diaorang pulak."

" Hehehe. Okay."

"Lepas tu kalau nampak taik diaorang dah berlonggok tu kau gunalah skup tu lepastu letak kat pokok bunga kau. Siram dengan air pokok bunga kau lepas tu nanti mati." Pesan Kiah sambil menuding ke arah skup di tepi sangkar arnabnya.

" Oo okay okay." Tipah angguk menurut.

Kiah bersalaman dengan Tipah lantas masuk ke dalam kereta. Sempat dia melambai tangan kepada Tipah dan arnabnya. Dan berangkatlah Kiah sekeluarga ke Pulau Tioman. Meskipun hatinya tidak senang kerana menyerahkan amanah itu kepada Tipah, namun perjalanannya sudah di pertengahan. Tiada guna dia berpatah balik. Percutiannya selama empat hari di sana sungguh seronok dan mengujakan sehinggakan mereka sekeluarga terlupa akan keadaan rumahnya.

Manakala di rumah Tipah;

"Mak ! Bulu apa ni?!" Laila, anak sulung Tipah datang menerpa emaknya di dapur.

"Bulu?"

"Kat luar tuuuu bulu apa banyak gila ni mak ! Dengan darahnya ada sekali!" Laila gelisah. Tipah hanya diam sambil menggodek isi periuknya. Aromanya lauknya semakin  menyelerakan. Bau yang meruap masuk ke rongga nasalnya membuatkan Tipah tersenyum dengan penuh sinis.

" Mak? Masak apa ni?" Laila bertanya, curiga dengan emaknya.

"Kari arnab." Jawab Tipah ringkas.

Teloponglah mulut si Laila, lalu dia berlari ke luar rumah untuk mendapatkan kepastian apa yang dia sangkakan. Dia dapati sangkaannya tepat 100 persen. Menjeritlah Laila melihat sangkar arnab  jirannya Mak Kiah kosong tidak lagi berpenghuni. Sudahlah anak kepada Mak Kiah itu tampan dan menarik hatinya. Sudah tentu harapannya hancur dengan perang emaknya cetuskan ini. Menangislah Laila meratapi arnab-arnab jirannya dijadikan juadah buat dia sekeluarga malam ini.

Tipah kekal memasak dengan penuh rasa senang hati. Usai memasak kari arnab, baki dagingnya digoreng kunyit. Tipah berpuas hati tanpa memikirkan impak yang bakal terjadi. Aroma lauk-lauk yang dimasaknya kian menusuk hidungnya. 'Haa... indahnya dunia.'

No comments:

Post a Comment