Masih jelas di ingatan pada petang itu, aku berjalan di koridor merentasi setiap kelas. Semua kelas kosong tiada satu pun jiwa sedang menghuni melainkan aku yang dalam kegusaran. Aku berjalan dan hanya meneliti sekilas pandang senarai nama yang ditampal pada pintu bilik darjah. Semua nama itu tidak aku kenali. Bukanlah urusan aku untuk mengenal satu persatu nama-nama mereka lagipun.
Dalam niat untuk meneruskan perjalanan, aku memandang ke satu arah sebelum seketika aku berhenti dan kaku. Tekejut dengan apa yang saraf optikku mentafsir. Di hujung aras itu, terdapat satu pintu tiada dinding. Seribu satu tanda tanya menyergah mindaku. Kedengaran tombol pintu dipulas dan sedikit terkuak sebelum aku cuba memusing. Aku pandang semula. Terlihat seorang wanita sedang menampakkan bayangnya pintu itu. Dia memandang kepadaku dengan segaris senyuman yang manis. Lalu dia menjelma sepenuh jasad.
Ianya ibu.
Bagai tidak dapat aku percaya dengan apa yang berlaku pada detik itu. Ibu yang telah lama meninggalkan aku kini berdiri di situ. Di hujung aras yang berpintu tidak berdinding. Suaraku bergetar menahan sebak memanggil nama ibu. Aku berjalan ke arahnya seraya ibu masuk ke pintu ajaib itu. Kakiku yang mana hanya berjalan telah berlari mengejar ibu. Sesampainya aku di pintu, aku melangkah masuk. Dan segalanya hilang.
***
Hari ini, aku masih ke situ. Berjalan merentasi setiap kelas sepanjang aras itu tanpa lagi rasa gusar seperti dulu. Mataku kembali memandang kosong ke arah hujung koridor yang mana dahulunya ketika aku pertama kali melihat pintu tidak berdinding dan jelmaan seorang wanita digelar ibu. Kawasan itu sudah kosong tanpa sebarang objek melainkan pita merah putih terikat dari tiang ke tiang yang menandakan kawasan itu ditutup.
Tempat itu hanya berada di pandangan ekor mataku sebelum aku melangkah masuk ke satu ruang bilik darjah yang terdahulunya aku pernah mengimbas nama-nama pelajarnya. Setiap helaian kertas yang ditampal pada papan kenyataan diteliti sehingga pandanganku tertancap pada satu keratan akhbar. Di hujungnya terdapat wajahku yang tersenyum manis seperti pada gambar profil murid.
23 FEBRUARI 2013
'PELAJAR BUNUH DIRI HADAPI TEKANAN HIDUP'
Mangsa dikatakan tertekan selepas kematian ibu akibat kanser otak
Jerantut : Seorang pelajar sekolah menengah meninggal dunia dipercayai mmbunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga petang semalam. Mangsa merupakan anak kepada pesakit kanser otak yang baru sahaja meninggal seminggu yang lalu. Telah dimaklumkan bahawa ..........
Ahh.. aku sudah penat membaca artikel yang sama. Sudah 2 tahun kejadian itu menimpa aku. Aku menembus keluar dari bilik darjah itu lalu terbang menghinggap ke atas atap di bangunan sebelah. Duduk menikmati pemandangan senja hari sambil angin mengharungi diri. Sudah aku hanya jiwa tidak berjasad, suka hati akulah untuk ke mana. Dan untuk esok dan seterusnya , akan aku berjalan lagi, pandang lagi, baca lagi dan berlalu pergi.
No comments:
Post a Comment