Seperti tengah harinya sebelum ini, Razman berehat di sebuah kafe di kaki lima berhampiran pejabatnya. Bekerja menghadap skrin komputer dan kertas adalah kerja yang lebih penat berbanding menjadi seorang jurukimpal. Namun jurukimpal bukanlah bidangnya. Pesanan dibuat dan pelayan berlalu pergi. Razman membelek beberapa naskah buku dan zine berhampiran dan mendapati tiada artikel yang menarik perhatiannya. lalu pandangannya ditala ke luar dinding kaca yang lutsinar.
Satu persatu gerak geri manusia diperhati oleh Razman. Pemerhatian dibuat dan ulasan bermain dalam benak fikirannya. Razman bukanlah seorang yang judgemental namun lumrah manusia untuk menghakimi seseorang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Tidaklah dia hairan dengan segelintir manusia yang pelik kelihatan di dunia ini. Bertudung namun baju yang dikenakan agak mencolok mata. Seorang pelayan sampai bersama espresso yang dipesan sebentar tadi. Razman berbalas senyuman dengan pelayan itu sebagai terima kasih dan kembali memandang ke luar.
Dari kaki lima seberang jalan, kelihatan seorang gadis berketinggian sederhana sedang berdiri menunggu lampu isyarat pejalan kaki. Blaus ungu labuh dan jeans hitam itu sungguh kena dengan sosok tubuhnya yang kurus. Bibirnya mungil dioles gincu merah, tudung bawal hitam tersarung kemas di kepalanya dan berkaca mata hitam. Razman merasakan seolah-olah Cupid si bayi bersayap telah memanah hatinya.
Razman jatuh hati.
Bagai tidak ingat dunia Razman hanya memandang ke arah gadis itu sedang melintas jalan. Lirikan matanya bergerak selari dan gadis itu berlalu pergi. Matanya menjadi galak dan bergetar seluruh hatinya. Hilang saja gadis itu dari pandangan, Razman tersenyum. Ditoleh kembali pandangannya ke meja dan kelihatan sepinggan roti bakar siap terhidang. Dia terlalu leka sehinggakan tidak sedar akan kedatangan pelayan menghantar pesanannya. Espresso dihirup dengan semyuman dan roti digigit bersama kebahagiaan.
Sejak hari itu, pada waktu dan tempat yang sama diduduki Razman seorang diri. Menunggu kemunculan gadis itu. Sentiasa Razman lihat gadis itu bersama kaca mata hitam tersemat elok di wajahnya atau dia atas kepala. Matanya yang bundar dan beranak mata warna coklat sungguh menawan hati jejaka itu. Bukanlah tajam sangat penglihatan Razman namun keterujaan dan penaakulan hang dibuat terhadap gadis itu sangatlah tinggi. Tambahan lagi jelas wajahnya terlihat apabila terkadang si kaca mata hitam itu lalu di tepi dinding kaca kafe itu tanpa menyedari Razman memerhatikannya. Mahu saja Razman keluar dan memulakan bicara dengan gadis itu namun masih belum cukup kejantanannya untuk bersua dengan wanita seanggun itu.
Tertulis di takdir yang tuhan catatkan buat manusianya, berani Razman sudah ke takuk tertinggi, dia memasang niat untuk menegur gadis berkaca mata hitam itu. Sebaik saja gadis itu muncul, Razman keluar daripada premis meninggalkan espresso dan roti bakar lalu mengejar gadis berkaca mata hitam yang sedang melintas.
Si kaca mata hitam sudah pun sampai ke kaki lima seberang dan lampu isyarat penjalan kaki sudah kembali bertukar merah. Razman yang seakan terpukau dek gadis itu sehinggakan tidak lagi peduli merah atau hijau mahupun biru lampu isyarat pejalan kaki itu dan terus saja melintas tanpa menoleh kiri kanan. Sebuah lori sedang dipandu laju di jalan raya yang dilintasinya tanpa dapat lagi dikawal. Bunyi hon kedengaran daripada lori mengejutkan para pejalan kaki. Razman menoleh.
BAMMMMM!
Tubuh Razman dirempuh dan darah terhambur dari kepalanya. Lori berhenti dan jasadnya rebah. Gadis berkaca mata hitam terpempan sebaik saja menoleh ke arah kejadian. Kaca mata ditanggal dan menampakkan rona anak matanya coklat gelap. Terlalu kaget dengan apa yang dilihat, matanya berkaca sebelum air mata berjujuh lalu rebah di kaki lima. Orang ramai tidak sedar akan gadis itu tidak sedarkan diri sebaliknya mula mengerumuni Razman seperti semut dan memanggil ambulans. Pemandu lori tangki itu ketakutan lalu cuba lari daripada insiden itu namun sempat diberkas orang awam. Razman tidak lagi sedarkan diri dengan nadi berkutik lemah.
Tiga minggu sejak tragedi itu akhir Razman menyedarkan diri. Badannya hampir berkudis akibat terlalu lama terlantar. Rusuk kanan dan tulang pehanya patah atas impak dirempuh. Kemalangan itu juga secara tidak sengaja telah mencacatkan penglihatannya. Razman hanya duduk dan baring di atas katil. Tidak perlu masa untuk berjalan mengambil angin kerana Razman berasa semuanya musnah selepas nikmat melihatnya diambil Tuhan. Namun Razman masih bersyukur kepada Tuhan kerana mengambil penglihatannya sahaja dan tidak sekali dengan tangan dan kaki. Razman boleh berjalan namun tidak terbiasa berjalan tanpa melihat. Dia hanya ditolak di atas kerusi roda sekiranya mahu berjumpa dengan doktor.
Matanya boleh diselamatkan namun memerlukan masa dan perbelanjaan yang besar. Pilihan diberi sama ada pembedahan dijalankan atau kekal saja tanpa mampu melihat dan Razman masih dalam pertimbangan. Tongkat diberi doktor berselitkan sedikit kata-kata semangat sebelum Razman kembali ke bilik wadnya.
Hari terakhir Razman di hospital, dia dijemput seorang wanita. Tidaklah dia tahu bagaimana sosok tubuh perempuan itu. Takkanlah harus diraba untuk mengenalpasti badannya. Suara wanita itu lembut didengari lalu menolak kerusi Razman keluar. Segala urusan Razman dan servis penginapan selama tiga hari di hospital sudah dilaksanakan oleh wanita itu. Dia dijemput masuk ke dalam kereta yang sudah dihidupkan enjinnya dan berlalu membelah jalan yang agak lengang sebaik saja tuan empunya masuk ke dalamnya pagi itu.
Sepanjang perjalanan di dalam kereta itu, Razman diam tanpa sepatah kata sehinggalah wanita itu bersuara.
"Dah makan?"
*angguk*
"Tak takut ke naik dengan saya?"
"Kenapa pulak?"
"Manalah tahu kot-kot saya ni jahat ke. Hahaha"
"Hahaha."
Suasana kembali diam.
"Saya Nora."
"Oh saya.."
"Ya nama awak Razman. Saya tahu."
"Okay."
"Jadi Razman, saya tk berniat jahat pun. Sebab saya nak tolong awak daripada A sampai Z. Saya dah bayar bil hospital tadi dan cuba nego untuk insurans awak. Tak lama lagi saya tolong awak turun naik mahkamah untuk saman pemandu lori."
"Saman?"
"Yes."
"Susah-susah je. Tak payah la."
"Dah buta pun sombong lagi ya?" Razman diam.
"Takpe. Saya peguam. Saya tahu lah apa saya buat."
Razman dihantar pulang ke rumah. Nora sempat membelikan Razman sedikit keperluan dan makanan ringan sebagai persediaan janggal untuk Razman. Tidaklah terlalu janggal untuk Razman mendiami rumahnya kerana hampir empat tahun rumahnya dihuni seorang. Ketika dia tiada, tidak langsung berubah perabot dan barangannya daripada hari pertama rumahnya ditinggalkan dahulu. Sudah dia tahu akan selok belok rumahnya itu. Nora akan datang ke rumahnya untuk menyediakan makanan dan membasuh pakaian untuk Razman.
Dua bulan sudah Nora membantu Razman dalam menguruskan diri setiap hari. Setiap dua minggu sekali Nora membawa Razman ke hospital untuk berjumpa doktor dan bersiar-siar mengambil angin. Razman turut menceritakan kepada Nora tentang gadis berkaca mata hitam yang dia kejar waktu itu. Nora hanya diam mendengar penjelasan Razman. Cerita itu langsung tidak memberi kesan kepada Nora walaupun Razman mulanya enggan membuka cerita. Bimbang Nora terguris atau iri hati.
Namun tidaklah itu yang terjadi. Nora tetap memberi semangat kepadanya. Razman sungguh terkesan dengan hati budi yang ditabur oleh Nora. Mahu saja dia bertanya kepada Nora 'mengapa' dan 'apa' tujuan dia membantu Razman. Namun disimpan sahaja niat itu. Razman mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan mata dengan sedikit bantuan kewangan dihulurkan oleh Nora. Pada mulanya Razman menolak tawaran itu namun dihalang oleh Nora.
"Kalau awak kekal buta macam mana awak nak cari dia?" Pertanyaan itu terpacul dari mulut Nora.
Razman kelu tanpa seribu kata. Sungguh terkesan kata-kata berbait pertanyaan itu. Jadi keputusan dibuat dan Razman bertekad. Dia harus terus menatap gadis itu seperti biasa. Cinta itu tidak luput. Wajah Nora juga harus dia ketahui agar dia kenal penyelamatnya dan membalas jasa Nora. Tarikh pembedahan telah ditetapkan dan Razman bersedia untuk menjadi celik semula.
Saat berganti saat, hari berganti hari dan minggu diganti minggu.
Hari itu, pembedahan selama lapan jam berjalan lancar tanpa sebarang cela. Razman hanya tenang dan tidak gementar. Tidak perlu dia gementar kerana tawakalnya di tangan tuhan. Matanya berbalut. Tubuhnya dibaringkan di atas katil wad dengan Nora di sebelahnya. Arahan dan larangan doktor diikuti sebutir sebutir. Razman tidak mahu wang Nora yang dilabur ke atas pembedahan matanya disia-siakan begitau saja. Dan atas tekad untuk kembali hidup normal dan membalas jasa wanita itu.
Setelah cukup tempoh, balutan matanya dibuka. Razman perlahan-lahan membuka matanya. Cahaya mula menerobos masuk ke dalam retina matanya. Dan pembedahan itu berjaya. Razman sudah boleh melihat dan bersyukurlah dia ke atas tuhan yang mengurniakan semula penglihatannya. Doktor berasa lega dengan hasil pembedahannya dan tahniah diucapkan kepada Razman. Terima kasih diucapkan oleh Razman tanpa henti. Seketika itu Razman sedar bahawa Nora tiada di situ.
"Mana Nora, doktor?"
"Oh, cik Nora terpaksa keluar atas urusan kerja. Nanti beliau akan datang jemput encik Razman"
Doktor berlalu pergi dan meninggalkan Razman seorang diri di wad. Razman pergi membersihkan diri sebelum keluar mengambil udara pagi di sekitar kawasan hospital. Sungguh gembira jejaka itu dapat melihat semula. Dia turut berkesempatan bersiar-siar di kaki lima berdekatan sebelum kembali ke wad. 15 minit kemudian, satu suara menyapa lembut Razman yang sedang leka termenung di tepi tingkap. Razman menoleh.
-kaku
Tidak terkutik seketika Razman pada saat itu. Seorang gadis berbaju kurung Riau warna biru dan bertudung bawal putih berdiri di hadapannya. Bibirnya yang dioles gincu merah tersenyum lebar kepada Razman. Kaca mata perang gelap yang dipakainya ditanggalkan menampakkan matanya yang coklat cair.
"Sayalah Nora."
Gadis yang dikejarnya selama ini ialah Nora. Sungguh kecil dunia ini dicipta oleh tuhan. Nora melambai-lambai di hadapan Razman bagi menghentikan lamunannya.
Razman yang mendapati dirinya terpempan segera cuba bersuara.
"Sa- Saya Razman."
"Hehehe"
"J-ja- jadi, awaklah perempuan yang...."
"Hahaha. Taklah. Itu bukan saya" Nora tersenyum. Senyumannya kelihatan hambar drpd sebelumnya. Razman bagai tidak percaya dengan apa yang dilontarkan oleh Nora sebentar tadi lalu meminta penjelasan. Nora mengajak Razman ke kafeteria hospital. Kerana dia tahu perbualan ini cukup panjang dan memakan masa untuk Razman hadamkan.
***
No comments:
Post a Comment