Setiap Malam Yang Sama

Malam itu, Zarina pulang berseorangan. Rakan sekerjanya, Mona masih di kafe. Dia harus pulang awal kerana sudah 4 hari berturut-turut kerja lebih masa dan 4 hari itulah dia tidak cukup tidur. Tidak tahulah berapa jam saja yang dia sempat terlena sepanjang tempoh itu. Kerana mencari rezeki masa haruslah dia gadaikan.

Sedang Zarina menunggu bas Rapid singgah di perhentian, datang seorang wanita yang mana dilihat wajahnya seperti berusia 20-an. Pakaiannya agak terdedah dan mana-mana kaum adam yang lemah imannya pasti tergugat melihat wanita itu. Zarina senyum kepada wanita itu dan senyumannya dibalas kembali oleh wanita itu.

"Sorang saja hari ni?" Sapa wanita yang berpakaian seperti tidak cukup kain itu.
"Ya, kak. Kawan saya kerja over time malam ni."
"Oh"
Suasana kembali senyap.

Sudah lama Zarina kenal akan wanita itu. Dia selalu berpakaian begitu hampir setiap malam dan menunggu di perhentian yang sama. Sepanjang sembilan bulan kerja di kafe itu dan berulang-alik menggunakan bas, sering mereka menunggu di perhentian yang sama dan sering juga bertegur sapa.

"Akak nak pergi mana?"
"Hm tak tau lah ,dik. Tunggu je client bawak akak pergi mana nanti."
"Client?" Zarina buat-buat tak faham.
"Haa la, dik. Macam ni lah akak sekarang. Punah!"

Zarina hanya mampu diam. Bukannya dia tidak tahu bahawa wanita itu seorang pelacur. Tapi kerja kotor itu tidak menghalang dirinya untuk berkenalan dengan wanita itu. Orang hanya tahu mengata.
'Uii pelacur? Euw murah!'
'Apalah nak jadi. Tak hingin aku buat bini.'
'Takde kerja lain gamaknya, pelacur jugak dia jadi'

Zarina hanya mendengar. Dia tidak suka menyuarakan pendapat sebegitu. Baginya, manusia memilih kerana bersebab. Bukan saja-saja. Biasalah, manusia. Tidak elok sering saja dipandang rendah. Mana tahu, agenda hidup sesorang itu maha dahsyat dari yang kita lihat. Berat mata memandang, berat lagilah bahu itu memikul.

Kemudiannya, wanita bersuara
"Akak bukannya taknak kerja elok-elok. Tapi akak terpaksa akur kata ayah akak. Dia bukanlah orang yang elok. Setiap hari perabis duit beli arak, main judi. Akak nak kerja dekat Parkson, dia marah. Dia maki hamun akak. Dia paksa akak kerja macam ni."

Dia diam sebentar, Zarina sedari tadi memandangnya sambil tekun mendengar.
"Kalau akak tak jadi macam ni, dia ugut nak rogol akak. Akak tertekan jugak, dik. Client akak malam-malam pun kawan-kawan dia jugak. Sedap dorang je pedajal akak. Dapatlah duit Rm200 satu malam. Simpan-simpan pun diambil ayah."

Zarina rasa kasihan kepada wanita itu.  "Mak akak mana?"

"Dulu mak lari ikut jantan lain 7 tahu lepas. Sebab tu ayah jadi macam tu. Tapi dua minggu lepas, mak meninggal. Kanser payudara." Dalam suasana gelap itu dapat Zarina lihat air mata wanita itu jatuh namun lekas diseka.

Zarina memandang ke hadapan"Takpe akak. Saya faham. Tak semua orang fikir akak jahat."

Sebaik saja dipandang semula Zarina ke arah wanita itu, jasad yang menggiurkan itu tadi sudah hilang daripada pandangan. Zarina hanya tersenyum bersahaja. Bas singgah di perhentian itu lalu dinaiki Zarina tanpa sebarang kehairanan. Sudah dia lali dengan kejadian seperti itu.

Tambang bas diberi kepada pemandi tua itu. Pemandu tua itu bertanya Zarina yang sedang menuju ke tempat duduk kesukaannya. Maklumlah bas itu Zarina dan Mona saja yang selalu tumpang untuk pulang ke rumah.

"Hang tak jumpa dia ka?"
"Jumpa."
"Heh, dah jadi hantu pun pi cari jantan."
"Dah pakcik yang hidup ni? Dah tua pun mengata orang. Orang yang dah mati pulak tu."

Terus pemandu itu diam. Zarina duduk memerhatikan pemandangan di luar. Kelibat Hantu Pelacur itu masih di situ, tersenyum kapada Zarina. Bas mula bergerak dan hilanglah hantu itu dari pandangan.

Sudah Zarina lali dengan kejadian seperti itu setiap malam. Si Hantu Pelacur datang dan menangis, kemudiannya hilang begitu saja. Dia bersimpati akan hantu itu kerana pernah hidup dalam keadaan sukar. Pernah diceritakan oleh orang sekeliling perhentian itu bahawa wanita itu mati dibunuh bapanya ketika mabuk 10 tahun yang lepas. Setiap kali terserempak, itulah kata-kata yang keluar dari mulut si hantu itu. Tragis seorang gadis dipaksa menjadi pelacur.

No comments:

Post a Comment