Tengkorak

Hari ini Kagwa ke hutan untuk memburu. Dibawa bersamanya hanyalah tombak, seutas panjang tali disandang pada bahu dan sebungkus bekal makanan. Dia tidak kira apa yang diburu. Dari sekecil kancil hingga sebesar babi hutan. Asalkan boleh dimakan. Dia tahu banyak lagi kerja yang boleh mengenyangkan perutnya tetapi sudah menjadi resmi keluarganya untuk pergi memburu. Lagipun Kagwa sejak kecil mengikuti ayahnya memburu dan hanya itu yang dia tahu.

Sedang dia berjalan merentasi semak setinggi bahu, Kagwa menemui seketul tengkorak. Bagai sudah lama usianya kerana tengkorak itu kelihatan retak dah rapuh namun masih kukuh jika diketuk pada batu. Tatkala Kagwa sedang mengandaikan seribu satu perkara sepintas lalu tentang seketul tengkorak, tiba-tiba sahaja tengkorak itu melompat. Membuatkan Kagwa kaget dan terus lesi pucat mukanya. Sampaikan dijerkah harimau pun tidak mampu memucatkan mukanya.

Lalu bersama keberanian dikumpul, Kagwa bertanya dalam kegagapan.

"Apa yang membawa kamu ke sini?" Lalu dibalas dengan tenang tengkorak itu,

"Bercakap membawa aku ke sini."

Setelah mendengar ujaran si tengkorak itu, Kagwa pantas berpatah pulang ke desa. Bergegasnya dia ke istana raja. Dia menghadap lalu menyembah ampun segala ampun sebelum menceritakan kepada bagina raja.

"Ampun, tuanku ampun. Patik menemui seketul tengkorak yang mampu berbicara."

Mendengar khabar daripada rakyatnya yang kerdil itu, si raja ketawa dan membalas,

"Sejak beta kecil sesampai sejarang. Tidak pernah beta mendengar khabar aneh sebegitu. Apakah engkau berbohong kepada beta?"

"Tidak, tuanku. Ini benar bukan dongengan. Tengkorak itu berbicara dengan sungguh petah tanpa cela. Tidaklah patik mencari binasa di istana ini."

Si raja sangsi dengan apa yang dikhabarkan oleh rakyatnya. Lalu baginda menitah dua pengawal yang gah perkasa untuk mengikuti Kagwa si pemburu hutan masuk ke hutan. Sekiranya apa yang dituturkan Kagwa itu bohongan semata, matilah dia dan mayatnya bakal dipunggal ke dalam kandang babi hutan. Dan beransurlah mereka masuk ke hutan itu mengikuti Kagwa. Berhari-hari, bermalam-malam, sikih berganti. Seketul tengkorak yang mampu berbicara masih belum ditemui. Sehingga satu titik di tengah hutan, Kagwa menemui kembali tengkorak itu. Yang sudah rapuh dan retak bagai dimakan usia. Tengkorak yang sama seperti sebelumnya.

Tanpa masa disia, Kagwa bertanya;

"Apa yang membuatkan kamu berada di sini?"

Tengkorak diam. Tidak berkutik, tidak bersuara. Hanya angin sesekali menyapa mereka bertiga. Kagwa bertanya sekali lagi, masih tiada jawapan dari tengkorak itu. Sudah Kagwa resah bimbang dipunggal, dijerkah sekali lagi kepada tengkorak itu.

"Apa yang membuatkan kamu berada di sini?!"

Masih tiada jawapan.

Tanpa sebarang alasan lagi Kagwa dipinta oleh pengawal untuk berlutut ke tanah. Kagwa meratapi nasibnya pada saat terakhirnya sambil berkata "Ia benar berbicara tatkale bersama aku seorang." Pedang diacung tinggi,

SRAPPPPPPP

Kepala Kagwa sudah jatuh tidak bercantum dengan padan. Darah memancut mengenai muka kedua-dua pengawal itu. Mereka mula mengangkat jasad Kagwa yang sudah tiada nadi itu. Tiba-tiba sahaja, tengkorak usang itu menerpa ke arah mereka, lalu menyapa.

"Apa yang membuatkan kalian berada di sini, wahai manusia?"

Mereka kaget, pucat sepucat-pucatnya. Dan kepala Kagwa yang jatuh ke tanah dari membalas, "Bercakap membuatkan aku berada di sini."
Larilah dua pengawal istana yang gah itu bergelimpangan semula ke desa.

No comments:

Post a Comment